SHOPPING BUKU DISINI

Monday, 11 March 2013

tips penulisan 1-gaya bahasa


PERKONGSIAN ILMU BAHASA MELAYU 


Gaya bahasa ialah cara seseorang menggunakan bahasa sebagai alat untuk menyampaikan pemikiran melalui karya mereka.
Kemahiran menggunakan gaya bahasa akan memancarkan keindahan dalam sesuatu karya di samping keperibadian penulis kerana seseorang penulis mempunyai gaya bahasa yang tersendiri.

Diksi
Diksi maksudnya pemilihan dan penyusunan kata-kata. Dalam berkarya, pilihlah diksi yang sesuai supaya cerita dapat difahami pembaca.

Ayat
Ayat merujuk kepada cara pengarang membina dan menyusun ayat dalam karya, misalnya ayat pendek, ayat panjang, ayat songsang dan sebagainya.
Cara pengarang membina dan menyusun ayat dapat menimbulkan kesan tertentu kepada pembaca.
Contoh:
Ayat pendek:     (a) Dia keliru.            (b) Dia buntu.              (c)  Biarkan.
                                  (d) Pergilah.              (e) Cintaku sudah mati.

Ayat panjang:   Entah sampai bila aku harus menunggu, sedangkan dia sedikit pun tidak mempedulikan aku, apatah lagi mahu menoleh kepadaku seolah-olah aku ini jasad yang tidak pernah wujud.

Ayat songsang: Telah aku campakkan kenangan itu jauh ke lautan. (ganti diri orang pertama)
                                Telah dicampakkannya kenangan itu jauh ke lautan. (ganti diri orang ketiga)

Ayat aktif:           Aku telah mencampakkan kenangan itu jauh ke lautan. (Subjeknya ialah ‘aku’)
                                Dia telah mencampakkan kenangan itu jauh ke lautan. (Subjeknya ialah 'dia')

Ayat pasif:           Kenangan itu telah aku campakkan jauh ke lautan. (Subjeknya ialah ‘kenangan itu’)
                                Kenangan itu telah dicampakkannya jauh ke lautan.

Ayat seruan:                      Amboi, perasannya dia!

Ayat perintah:                   Pergi dan jangan ganggu aku lagi.

Ayat tanya:         Bagaimana aku dapat memikat hatinya?

Personifikasi
Maksudnya pengarang memberikan sifat manusia, sama ada dari segi perasaan, perwatakan atau tindak-tanduk kepada benda-benda mati, binatang, idea atau hal-hal yang lebih abstrak.
Contoh:
(a)   Telinganya jelas menangkap kata-kata hinaan itu.
(b)   Senyumannya sentiasa menari-nari di mataku.
(c)    Kereta itu berlari laju menuju ke destinasi.
(d)   Kemesraanmu takkan bisa menjahit hatiku yang carik.

Simile
Simile ialah perbandingan dengan menggunakan kata-kata seperti, umpama, bak, bagai, ibarat dan sebagainya.
Contoh:
(a)   Kata-katanya semanis madu. (kata-kata itu disamakan dengan manisnya madu)
(b)   Dia resah gelisah bagai kucing mati anak.
(c)    Aku tersentak seperti baru terkena renjatan elektrik.
(d)   Wajahnya persis seorang pelakon popular.
(e)   Hilang seluruh semangatku ibarat danau yang kekeringan air.

Metafora
Metafora merupakan perbandingan terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, bak, bagai, umpama, ibarat dan sebagainya.
Contoh:
(a)   Mukanya bujur sirih. (mukanya disamakan seperti bentuk sirih yang bujur)
(b)   Betapa tingginya menara kasih. (kasih seperti menara yang tinggi)
(c)    Akan kuketuk pintu hatinya. (hati diibaratkan seperti pintu)
(d)   Lemaslah dia dalam lautan cinta. (cinta digambarkan sangat luas seperti lautan)

Hiperbola
Hiperbola ialah bahasa kiasan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya.
Contoh:
(a)   Kesabaran telah hangus rentung dibakar api amarah.
(b)   Seribu tahun pun akan kutunggu.
(c)    Terasa kulit mukaku tebal empat puluh inci.

Peribahasa
Penggunaan peribahasa yang sesuai akan menambahkan lagi keindahan bahasa dalam sesebuah karya.
Contoh:
Simpulan bahasa:             mata air, muka tembok, ulat bulu, hati batu, jiwa besar, gigit jari, gila  bayang, neraka dunia dan sebagainya.

Perumpamaan:          (a) Suara mereka kedengaran seperti bertih digoreng.
                                       (b) Muka kamu macam ayam berak kapur je, apahal?
                                       (c)   Perangai Judy yang suka bersosial itu bagai duri dalam daging kerana akan mencemarkan nama baik kami semua.

Bandingan semacam:                     berani seperti harimau, bodoh seperti keldai, angkuh seperti merak,                                                                                      cantik bagai bidadari, pucat seperti mayat, kurus seperti lidi dan                                                                                                sebagainya.

Pepatah:              (a) bapa borek, anak rintik
                                (b) berani kerana benar, takut kerana salah
                               (c) buang yang keruh, ambil yang jernih
                               (d) rambut sama hitam, hati lain-lain

Bidalan:                 (a) ada udang di sebalik batu
                                (b) belakang parang jika diasah lagikan tajam
                                (c) indah khabar daripada rupa
                                (d) nasi sudah menjadi bubur




tips ini diambil daripada facebook utk semua..bukan ditulis oleh pemilik blog ini tetapi sekadar perkongsian.harap maklum

No comments:

Post a Comment

Thank you for your comment ^_^

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...