Monday, 3 January 2022

HUKUM ASBF 2022

Hai semua. 


Soalan: Apa hukum pelaburan asb financing islamic ni. Ada yang kata harus dan ada yag kata haram. Jika bertembung antara 2 pendapat, pendapat mana yang lebih baik untuk ikut ya?


JAWAPAN RINGKAS DARI WEBSITE MUFTIWP

Dalam hal ini, kami cenderung untuk menyatakan keharusannya berdasarkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1-3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Wallahua’lam.

Sumber: MUFTIWP


JAWAPAN PANJANG DARI WEBSITE JAKIM



Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 - 3 Februari 2008 telah membincangkan Pelaburan Dalam ASN, ASB Dan Seumpamanya. Muzakarah telah memutuskan seperti berikut:

Setelah mendengar taklimat dan penjelasan serta meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakkan kemudharatan yang lebih besar, hukum melabur dalam skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.

Keterangan/Hujah: 

Hifz al-mal merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah. Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan salah satu faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah. 

Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadilan, maslahah dan menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Dalam hal ini, Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. 

Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. 

Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas. 

Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum. 


Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. 

Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. 

Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam. 


Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah.

Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. 

Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. 

Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam. 

PNB telah melaksanakan perubahan yang terbaik khususnya dalam aspek pelaburan bagi membolehkan penguasaan umat Islam. Dalam hal ini, maslahah umat Islam adalah penting dan kemudharatan yang lebih besar perlu dielakkan.


SUMBER: SINI


TERKINI...


STATUS PELABURAN PNB MENGIKUT MAQASID SYARIAH

Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali Ke-3/2017 yang bersidang pada 27 April 2017 bersamaan 30 Rajab 1438H memutuskan bahawa: 


Jabatan Mufti Selangor memutuskan hukum pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) adalah harus.

Ia diputuskan dalam mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke-3/2017 yang bersidang pada 27 April lalu dan dimaklumkan menerusi laman web rasmi Jabatan Mufti negeri

Menurut kenyataan itu, Jawatankuasa Fatwa Selangor meminta PNB untuk meneruskan usaha penambahbaikan bagi memastikan pelaburan berkenaan menepati syarak sepenuhnya.

Jawatankuasa Fatwa Selangor turut menyatakan keharusan pelaburan akan dikaji semula selepas tiga tahun dengan sekurang-kurangnya peratusan pelaburan patuh syarak melebihi 75 peratus.


Kenapa ya, ada orang kan... muzakarah dah dibuat, dan diputuskan hukumnya. Tapi masih ada segelintir yang nak argue. Nak jugak cakap makruhlah, haram lah. syubhah lah sebab ada ustaz cakap macam tu.  Jika anda tak nak ikut mufti, anda nak ikut siapa ya? Boleh kongsikan? 


 Jika anda rasakan post ini bermanfaat, kongsikan dengan rakan-rakan yang lain.

No comments:

Post a Comment

Thank you for your comment ^_^